Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 28, 2010

Rujukan Kehormat Yang Betul

Rujukan Kehormat
Yang berikut ialah ejaan rujukan kehormat yang betul iaitu:

1. Yang di-Pertuan Agong
2. Yang di-Pertuan Negeri
3. Yang di-Pertuan Besar
4. Yang di-Pertua Dewan Negara
5. Yang di-Pertua Dewan Rakyat
6. Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri
7. Yang Dipertua PIBG
8. Yang Dipertua MPKB-BRI
9. Yang Dipertua Persatuan Linguistik Malaysia
10. Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia

Saturday, November 27, 2010

Pengertian Bunyi- Bunyi Fauna


 Bunyi-Bunyi Fauna
1. Kera - mengerih, bergericau
2. Burung puyuh - berdengut
3. Katak - berdengkang, menguak
4. Anjing (kena pukul) - berdengking, berdengkung
5. Kuda - meringkik
6. Kumbang - berdengung
7. Lembu - mengeboh, melenguh, berdengus (hembusan nafas)
8. Kerbau - menguak, berdengus (hembusan nafas)
9. Rusa - melenguh
10. Burung - berdecip, bersiul, mencicip, mencicit, ciok, ciak, bercip-cip
11. Anak ayam, anak burung, - berdecit, menciap
12. Anjing menyalak - auk (Id)
13. Harimau, singa - mengaum
14. Lebah - berdenging, berdengung
15. Ayam jantan - berkokok
16. Kucing - mengiau, mengeong
17. Ayam betina - berketuk, berkeriuk
18. Arnab, - mengerit, mengerumit, mengunggis (menggigit berdikit-dikit)
19. Ular - bersiul, mendesit
20. Lebah terbang - bersiung
21. Tikus - berdecit, mengerit, mengerumit, mengunggis (menggigit berdikit-dikit)
22. Kambing - mengembek
23. Burung tukang - berdekang (mencatuk kayu atau zink)
24. Burung punai, tekukur - berdekut
25. Itik - berkuek

Friday, November 26, 2010

Pembuangan Bayi...Ihsan daripada Cikgu Yoges/Cikgu Sanzjay

Soalan: Kes pembuangan bayi sering menjadi tajuk utama akhbar-akhbar perdana di negara kita. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani kes ini.

 Dewasa ini, masalah sosial dalam kalangan masyarakat semakin menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Antaranya termasuklah kes pembuangan bayi yang semakin leluasa di negara kita.  Dalam siaran berita di radio atau di televisyen, berita-berita seperti ini begitu kerap dilaporkan.  Hal ini bukan sahaja menyusahkan banyak pihak malah imej negara kita akan terjejas. Oleh hal yang demikian, pelbagai langkah harus diambil untuk membendung masalah ini.

 Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program.  Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah kepada rakyat.  Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang.  Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja.  Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.

Selain itu,  pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempen pada peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan.  Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas.  Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah.  Sebagai contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan lain-lain.  Usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landaan yang betul dalam kehidupan.

 Langkah yang seterusnya ialah menyediakan perkhidmatan kaunseling yang perlu diurus oleh pihak kebajikan masyarakat.  Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah.  Hal ini disebabkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri.  Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan sebenar.  Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut.

Di samping itu,  pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat.  Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat.  Perogol atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain.  Hal ini menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya.  Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa.  Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut.

Seterusnya,  pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima.  Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa.  Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Cara ini adalah amat efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.

Kesimpulannya,  pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan 2020.  Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung maalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni. Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dari segi lahiriah dan rohani dapat direalisasikan.

Kepentingan Memperkasakan Bahasa Inggeris

Kebaikan Menguasai Bahasa Inggeris

Sebelum ini, mutu pencapaian bahasa Inggeris di negara kita menampakkan kemerosotan yang ketara. Sejak pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsan yang menghapuskan aliran bahasa Inggeris, penguasaan para pelajar dalam bahasa Inggeris amat rendah. Hal ini dapat dibuktikan melalui keputusan-keputusan peperiksaan pada tahun-tahun yang lepas. Oleh hal yang demikian, mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk mewajibkan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dalam bidang Sains dan Matematik Tahun Satu dan Tingkatan Satu mulai tahun 2003. Dalam pada itu, ada pihak yang mengangguk kepala bahawa bahasa Inggeris banyak mempunyai kelebihan tetapi ada pihak yang menggeleng kepala bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa penjajah. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris haruslah dijadikan sebagai bahasa kedua penting tidak kira sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah demi kebaikan semua. Jadi, bahasa Inggeris memainkan peranan yang penting dalam kehidupan rakyat jelata.

Antara kepentingan bahasa Inggeris termasuklah bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan apabila jumlah penutur bahasa Inggeris di seantero dunia mengatasi jumlah penutur bahasa utama lain seperti bahasa Perancis, Sepanyol, Arab, dan Rusia. Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa utama yang digunakan semasa seseorang berkomunikasi dengan bangsa negara lain ialah bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja memudahkan kita berhubung dengan dunia luar malah bahasa ini menjamin kelancaran urusan yang melibatkan bangsa negara lain. Misalnya, urusan seseorang dengan bangsa lain akan berjalan dengan lancar sekiranya seseorang itu menguasai bahasa Inggeris dengan sepenuhnya. Sebaliknya, urusan seseorang akan menempuh pelbagai dugaan sekiranya seseorang itu tidak petah dalam bahasa Inggeris. Hal ini jelas menampilkan kepentingan bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris juga merupakan bahasa utama dalam bidang perniagaan. Walaupun bahasa rasmi negara ialah bahasa Malaysia namun dalam bidang perniagaan bahasa yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris. Contohnya, bahasa Inggeris digunakan semasa sesuatu perniagaan sedang dijalankan. Menurut kajian, bahasa Malaysia jarang-jarang digunakan semasa urusan perniagaan dijalankan. Hal ini berlaku demikian kerana bahasa Malaysia kekurangan istilah yang tepat untuk mengungkapkan maksud dalam perniagaan. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk menjamin peluang kejayaan kerjaya malah juga penting untuk menjamin hubungan yang mantap dalam bidang perniagaan. Jikalau bahasa Inggeris tidak dikuasai, maka perniagaan individu, syarikat, dan negara akan terbatas. Apabila peluang perniagaan terbatas, hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah juga menjejaskan hubungan diplomatik dan nama baik negara. Oleh itu, bahasa Inggeris amat penting dalam bidang perniagaan.

Di samping itu, kepentingan bahasa Inggeris yang lain ialah bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu pengetahuan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam era globalisasi dan modenisasi ini, bahasa Inggeris merupakan bahasa sumber yang penting. Misalnya, kebanyakan buku ensiklopedia, buku rujukan, maklumat, penyelidikan dan khazanah ilmu yang lain terungkap dalam bahasa Inggeris. Hal ini tidak menjadi masalah bagi golongan yang dapat menguasai bahasa Inggeris untuk memahami isi-isi yang tercatat dalam bahan bacaan tersebut. Persoalannya, adakah anda faham akan isi-isi yang ingin disampaikan sedangkan tahap penguasaan bahasa Ingeris berada pada paras yang menyedihkan? Jawapannya semestinya tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu yang terdapat dalam bahan bacaan itu memerlukan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang optimum. Dengan ini, tampaklah bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam menimba ilmu yang tidak terhingga.

Bukan itu sahaja, bahasa Inggeris penting kerana bahasa ini merupakan bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat dapat memperoleh maklumat-maklumat yang terkini supaya masyarakat tidak menjadi katak di bawah tempurung dengan syarat masyarakat dapat menguasai bahasa Inggeris. Malahan, mereka juga dapat memahami isi-isi tersurat yang dipaparkan dalam maklumat antarabangsa yang disalurkan melalui satelit ataupun media massa seperti radio, televisyen, dan surat khabar. Lebih-lebih lagi pada zaman teknologi maklumat ini, banyak alat teknologi yang canggih telah dicipta untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan dunia luar seperti internet tambahan pula, bahasa Inggerislah yang terungkap dalam laman web. Jadi, bahasa Inggeris haruslah dipandang berat kerana bahasa ini ialah bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet.

Kesimpulannya, bahasa Inggeris ialah bahasa antarabnagsa yang sangat mustahak untuk berhubung dengan bangsa lain, baik dengan masyarakat tempatan mahupun dengan masyarakat dunia luar. Walaupun bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara namun bahasa Inggeris amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa Inggeris membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara tidak langsungnya mempercepat pembangunan negara. Di samping itu, kemajuan hanya dicapai dengan lebih cepat sekiranya komunikasi dalam bahasa Inggeris berjalan dengan lancar dengan negara-negara maju. Dengan ini, kecemerlangan seseorang individu bergantung pada tahap penguasaan bahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan bidang perniagaan

Memartabatkan Bahasa Melayu

Langkah-Langkah Memartabatkan Bahasa Malaysia
Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan tersendiri, iaitu bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955, bahasa Malaysia telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka. Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, bahasa Malaysia menjadi bahasa kebangsaan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152. Krisis baharu yang melanda bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini. Faktor kedua berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri. Hal ini berlaku demikian kerana orang Melayu yang berkuasa telah meminggirkan bahasa Malaysia daripada rancangan pembangunan. Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan kepustakaan bahasa Malaysia. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang ilmu, teknologi, dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri. Rata-rata, ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.

Dalam dunia korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak bertamadun atau tertinggal dalam arus teknologi moden. Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi baharu kerana ilmu itu dapat diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat atau timur sehingga bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding jari kepada sesiapa jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang enggan atau malu untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa bertamadun tinggi. Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan, malah dalam perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih berminat menggunakan bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah sebaik mana.

Selain itu, dasar penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi. Pelajar-pelajar di sekolah menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga belas tahun. Selepas itu, mereka meninggalkan bahasa itu selepas tamat persekolahan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke kolej swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Melalui peranan dan usaha yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Malaysia telah digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, insurans dan sebagainya. Usaha ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan glosari dalam bahasa Malaysia yang mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini, kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada bahasa Inggeris. Usaha ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat membantu program pendidikan di pusat pengajian tinggi.

Di samping itu, seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam majlis perasmian, mesyuarat atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah juga menjadi monitor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara, contohnya dalam projek Sukan Komanwel dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks ini, Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta, media cetak, atau media elektronik supaya menggunakan bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi.

Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa mempunyai tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia. Pujian dan sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita.

Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu. Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Malaysia. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa ini.

Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Malaysia. Golongan pendidik hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan membanggakan. Selain itu, dalam konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang positif perlu di¬terapkan melalui pendidikan bahasa.


Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Malaysia amatlah dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan kelakuan, sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika tidak siapakah lagi yang akan bertanggungjawab memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan? Beliau juga mengesyorkan satu pertemuan raksasa antara orang-orang Malaysia yang terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya perlu diadakan untuk membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa Malaysia hari ini. Sebenarnya, isu bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan samalah seperti nasib sosial dan budaya kebanyakan orang Malaysia. Oleh hal yang demikian, orang-orang Malaysia haruslah bangun menjadi penegak bahasa Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak bangsa.

Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Cara itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia. Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.